Saturday, September 5, 2009

Sepertiga Malam..

Keheningan malam itu sungguh mendamaikan jiwa, memberi ketenangan penuh syahdu. Apalagi angin sepoi-sepoi bahasa memasuki ruang bilik yang hanya memuatkan sebuah katil dan almari pakaian. Sempit juga untuk melakukan aktiviti lain, namun ruang yang sekecil ini amat disyukuri daripada langsung tak ada...ruang tepi katil itu, cukup untuk membentangkan sejadah lusuh yang bertahun lama digunakan. Begitu berharga dan bernilai selama mana dahi ini tiap kali akan menyentuh pada hamparannya.

Sememangnya bukan mudah untuk bermujahadah apalagi hendak melawan nafsu yang bermacam-macam cabang ini. Letih dan perit jerih berhadapan dengannya. Hendak dituruti, begitu mudah tapi untuk mengawalnya belum tentu kita mampu. Sedangkan ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? " Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Bagaimana mendidik jiwa kita agar tidak dibelenggu oleh kehendak hawa nafsu yang kadang-kala menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan?

Bukan susah berkata senang, bukan senang berkata mudah..tidak semudah yang disangkakan. Apabila berbicara, lidah sudah tidak bertulang lagi. Namun untuk mendidik nafsu dalam diri perlunya mujahadah yang kuat tertanam di dasar hati. Itulah gambaran iman yang sebenar apabila diri mampu mengawal dan mengemudikan nafsu sendiri.

Di bulan Ramadhan inilah sebagai gerbang kita menuju kepada kemanisan iman hasil daripada nafsu yang terdidik dan peningkatan amal ibadah yang berterusan. Bila dihitung kembali amalan sepanjang 16 ramadhan yang baru berlalu, masa yang ada berlalu begitu sahaja tanpa ada apa-apa yang menyerikannya. Awal malam dimeriahkan dengan menjamu makanan yang baru sahaja dibeli di cafeteria. Sambil bergelak ketawa dengan kawan, begitu seronok dapat berkumpul sama. Bercerita hingga menghampiri masa untuk melenakan diri.

Sepertiga malam telah menghampiri, diri masih bersembang..berbual kosong dengan kengkawan di ruangan laman sembang. Dapat kenalan baru pula dari oversea, tambahlah lagi mengaktifkan dan merangsang diri untuk tidak tidur semalaman semata-mata untuk menjalinkan ukhuwah fillah. Namun kebenaran itu tidak dapat dipastikan kerana yang mampu meneropong segala niat hati kita hanyalah Allah SWT sahaja. Sambil itu, minum secawan Nescafe dan makan roti untuk mengisi perut sebagai persediaan sahur. Sehinggalah terjadilah kelawar yang malam berjaga siang melenakan diri di katil yang empuk.

Sepertiga malam berlalu meninggalkan diri yang keletihan melayan malam dengan kerja-kerja sampingan yang tidak berpenghujung. Tidak tahu sampai bila, mungkin juga setiap malam-malam ramadhan dipenuhi dengan rutin seharian yang telah ditetapkan. Leka dengan keseronokan setelah sekian lama meniti hari-hari yang sunyi. Kesunyian malam yang hening tiada siapa yang tahu, apabila sepertiga malam itu dipergunakan untuk mengisi jiwa yang kosong. Masa yang sedikit untuk merintih, mengadu dan mengharap di hadapan Yang Maha Pencipta. Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersyukur tika mendapat barokah dariNya, dan bersabar ketika mendapat cobaan dari Allah. Apabila kita banyak mengingati Allah, Bila selangkah kita mendekatiNya maka seribu langkah Dia akan mendekati kita.

Sepertiga malam kita serikan dengan qiamullail. Bermula hanya selangkah, menunaikan solat Tahajjud di hamparan sejadah lusuh itu. Tidakpun menghiraukan bilik kecil yang cukup ruang untuk bersujud. Walau sekecil manapun ruang itu, tapi bila sepertiga malam mula diserikan dengan ibadah yang istiqamah..ruang itu menjadi semakin luas. Cukup mendamaikan. Merangkak dengan Tahajjud, bertatih dengan Tasbih...melangkah dengan Taubat akhirnya sampai jua kepada Hajat. Alhamdulillah, tidak disangka sepertiga malam itu amat bermakna dan terkesan pada diri dan di hati.

Begitu kemanisan dirasai,
Muhasabah tiada bertepi,
Mujahadah tidak pernah terhenti,
Mengharap Istiqamah sepanjang perjalanan
Meniti hari-hari di sepertiga malam..

1 comment:

  1. Kerdilnya kita sebagai hambaNya, amalan yang ada belum tentu diterima Allah..sebagai hambaNya kita seharusnya meningkatkan ibadah kepadaNya. Sentiasa beristiqamah dalam beramal dan beribadah...semoga amalan kita diberkati Allah swt.

    ReplyDelete